Kontinjen Negara Sasar Kelompok 10 Terbaik Dalam Sukan Komanwel 2018 – KJ

Kontinjen Negara Sasar Kelompok 10 Terbaik Dalam Sukan Komanwel 2018 – KJ

0
SHARE

GOLD COAST, AUSTRALIA – Sebaik tirai Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dibuka secara rasmi Rabu, tumpuan negara pastinya terarah kepada kemampuan kontinjen negara untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik seperti disasarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Temasya kali ini menjadi medan terbaik buat atlet negara, sama ada yang membuat penampilan kali pertama mahupun sudah beberapa kali menyertai temasya itu untuk menguji kemampuan mereka di arena antarabangsa selepas meraih keputusan cemerlang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Apa yang pasti, atlet negara memikul tanggungjawab besar untuk memastikan Malaysia berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik selain ‘wajib’ mengatasi pencapaian enam pingat emas yang dirangkul pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Tumpuan kali ini juga sudah pasti kepada atlet di bawah Program Podium yang disasarkan membawa pulang pingat buat kontinjen negara.

Kejayaan di Sukan Olimpik Rio 2016, pencapaian cemerlang di Sukan SEA 2017 dan beberapa atlet negara bergelar jaguh dunia, peminat sukan di tanah air sudah pasti menjangkakan pencapaian yang lebih cemerlang pada Sukan Komanwel kali ini.

Membariskan nama-nama gah ​di pentas antarabangsa, sudah tentu negara mengharapkan lebih banyak kilauan pingat dapat dihasilkan berbanding edisi di Glasgow yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah penyertaan kontinjen Malaysia pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Malaysia menyenaraikan ratu terjun dunia Cheong Jun Hoong, juara keirin dunia Mohd Azizulhasni Awang dan barisan pemain badminton meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2016 diketuai Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon -Goh Liu Ying.

Selain itu, ratu skuasy negara Datuk Nicol David serta jaguh menembak Asia Johnathan Wong selain peningkatan mendadak atlet olahraga seperti Nauraj Singh (lompat tinggi) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang),

Pada Sukan Komanwel edisi ke-21 kali ini, Malaysia menghantar kontinjen seramai 178 atlet terdiri daripada 102 atlet lelaki dan 76 atlet wanita serta 95 pegawai untuk bersaing dalam kalangan 6,600 atlet dari 71 negara.

Kontinjen Malaysia akan menyertai acara olahraga, badminton, lawn bowls, renang, terjun, angkat berat, berbasikal trek, gimnastik artistik, gimnastik berirama, hoki, ragbi, bola keranjang wanita, menembak, skuasy, ping pong, dan lima acara para – berbasikal, powerlifting, renang, olahraga dan ping pong.

Diketuai Huang Ying How selaku ketua kontinjen, atlet negara akan memulakan misi memburu pingat pada 5 April, dalam beberapa acara termasuk angkat berat yang dijangka menjadi penyumbang pingat pertama negara, diikuti triathlon, renang dan berbasikal para.

Sepanjang penyertaan di Sukan Komanwel, kontinjen Malaysia meraih 10 pingat emas di Kuala Lumpur (1998), tujuh emas di Melbourne, Australia (2006), di Delhi kontinjen negara melepasi sasaran ditetapkan dengan 12 pingat emas (2010), yang juga pencapaian terbaik negara setakat ini, sebelum merosot pada 2014 di Glasgow, dengan enam emas.

Temasya kali ini bermula dengan upacara perasmian esok di Stadium Carrara membabitkan 6,600 atlet dan pegawai dari 71 negara yang akan mengambil bahagian dalam 275 acara dan mendapat liputan meluas hampir 8,000 media elektronik dan cetak.

Slogan untuk temasya ‘Share the Dream’, buat pertama kalinya mempertandingkan jumlah acara yang seimbang bagi wanita dan lelaki.

Maskot Sukan Komanwel 2018 adalah ‘the surfing koala’ yang diberi nama Borobi.

– BERNAMA