KPDNKK Rampas Penapis Minyak Tiruan Jenama Proton

KPDNKK Rampas Penapis Minyak Tiruan Jenama Proton

0
SHARE

SHAH ALAM – SEJUMLAH 46,400 unit penapis minyak tiruan jenama Proton dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM464,000 pada 27 Julai lalu.

Memetik kenyataan akhbar Harian Metro sebagai berkata Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam bahawa tindakan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang mengesan sebuah kontena di Pelabuhan Klang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.

Menurutnya, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap satu barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Melalui kerjasama dengan Jabatan Kastam, kita dapat merampas sejumlah besar penapis minyak ini yang dipercayai untuk pasaran di dalam negara. Barangan tiruan ini dipercayai diimport dari negara luar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini diminta menyalurkan maklumat di laman web KPDNKK iaitu¬†www.kpdnkk.gov.my¬†atau talian 1800-886-800,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Azman berkata, produk tiruan berkenaan dipercayai dijual pada harga sama dengan produk tulen iaitu pada harga RM12 hingga RM15.

Sementara itu, Ketua Syarikat Proton Parts Centre Sdn Bhd, Mohd Zainan Ayob berkata, pengguna boleh membezakan penapis minyak tulen Proton dengan beberapa kaedah.

“Penapis minyak tulen ada nombor siri dan getah atau ‘ring’ di bahagian bawah penapis selain tertera tulisan UMW.

“Selain itu jika dilihat menerusi lubang di bawah penapis itu juga mempunyai beberapa bintik logam selain tulisan di bahagian luarnya lebih kemas,” katanya.