KPKT Batalkan 56 Fasa Projek Pembangunan PR1MA

KPKT Batalkan 56 Fasa Projek Pembangunan PR1MA

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah dibatalkan, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen pada Khamis memaklumkan, jumlah itu adalah sebahagian daripada 131 fasa projek yang telah dirancang sebelum ini dengan nilai RM25.64 bilion.

“Hasil pengauditan terhadap polisi, kewangan dan ‘business model’ PR1MA mendapati perbadanan itu perlu membaiki kedudukan kewangan untuk meneruskan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Hasil penilaian yang telah dibuat menunjukkan hanya 75 fasa projek dapat diteruskan,” menurut kementerian itu dalam jawapan kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang ingin tahu status terkini laporan hala tuju PR1MA dan senarai tindakan segera yang telah digariskan berdasarkan laporan tersebut.

KPKT berkata status kemajuan di tapak untuk semua 75 fasa projek itu kini melebihi 50 peratus pembinaan dan mempunyai Lesen Pemajuan Perumahan Dan Permit Iklan Jualan (APDL).

Kementerian turut menyebut pelaksanaan pengauditan merupakan satu keperluan mendesak dalam usaha menjayakan rasionalisasi perumahan negara, dalam mengenal pasti kedudukan semasa setiap agensi perumahan di bawah KPKT.

Ia juga bagi mencadangkan struktur ‘business model’ baharu bagi agensi berkenaan iaitu PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Pada Ogos tahun lalu agensi-agensi perumahan iaitu PR1MA, SPNB, dan PPAM dipindahkan di bawah KPKT sebagai usaha rasionalisasi entiti perumahan negara.

– BERNAMA