KPRJ Bina Stadium Olahraga Bagi Temasya Sukan Malaysia 2020

KPRJ Bina Stadium Olahraga Bagi Temasya Sukan Malaysia 2020

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Stadium Olahraga Mount Austin yang dibangunkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dengan kos RM182 juta mempunyai kapasiti penonton hingga 5,000 orang serta menepati piawaian bagi sukan olahraga dan ragbi.

Stadium direka bentuk mengikut sistem modular itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandaraya Johor itu akan menjadi venue utama bagi acara olahraga dan ragbi bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang dhoskan oleh Johor, Julai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata stadium tersebut dilengkapi dengan Papan Skor Video Bergerak LED penuh warna bagi merakamkan catatan masa atlet, sistem rakaman ‘photo-finish’, peralatan balapan dan padang dengan jaringan tanpa wayar serta dua padang ragbi mengikuti spesifikasi antarabangsa.

”Kemudahan bagi acara balapan dan padang memenuhi kehendak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya dalam kenyataan sempena lawatan kerja Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abul Rahman, bagi meninjau kemajuan pembinaan stadium berkenaan, semalam.

Selain, stadium berkenaan, Syed Saddiq juga meninjau Velodrom Johor di Iskandar Puteri dan Arena Emas di Taman Impian Emas, di sini.

Noorazam berkata Velodrom Johor di tapak seluas 2.54 hektar itu mempunyai trek sepanjang 250 meter mengikut piawaian Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan mampu menampung 700 penonton.

Katanya, Arena Emas di kawasan seluas 7.5 hektar yang dinaiktaraf oleh KPRJ melalui anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn Bhd. pula menyediakan kemudahan sukan berserta gelanggang sukan memanah, petanque, boling padang dan skuasy di tapak perkhemahan dan rekreasi Taman Impian Emas.

– BERNAMA