Laluan Mudah Buat Pasukan Badminton Negara, Malaysia Lawan Scotland Di Suku Akhir

Laluan Mudah Buat Pasukan Badminton Negara, Malaysia Lawan Scotland Di Suku Akhir

0
SHARE
Sumber Foto; BHplus

GOLD COAST, AUSTRALIA – Skuad badminton negara dijadual bertemu naib juara Kumpulan A, Scotland di suku akhir selepas menduduki tempat teratas Kumpulan D dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Pasukan negara yang diketuai jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menang 4-1 ke atas Kanada hari ini.

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie memberi mata pertama buat negara apabila menang 21-17, 21-12 ke atas Nyl Yakura-Kristen Tsai pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre itu.

Malaysia tidak berdepan masalah untuk menggandakan mata apabila Chong Wei hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengatasi Jason Ho-Shue 21-6, 21-5.

Namun, perseorangan wanita Soniia Cheah gagal mengikut rentak cemerlang pasukan negara apabila tumpas kepada pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Michelle Li 21-14, 19-21, 15-21.

Beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memastikan kemenangan Malaysia setelah mengalahkan Nyl Yakura-Jason Ho-Shue 21-14, 21-13.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Chan Mei Kuan pula hanya mengambil masa 25 minit untuk melengkapkan kemenangan Malaysia apabila menewaskan Rachel Honderich-kristen Tsai 21-16, 21-9.

Terdahulu, pada perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Seychelles, Malaysia mendapat kemenangan percuma selepas pasukan tersebut menarik diri berikutan kekurangan pemain.

Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Taupik Hussain berkata pasukan negara berada di landasan tepat apabila menepati sasaran diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Untuk perlawanan menentang Scotland, kita akan bincang dengan jurulatih untuk menyenaraikan pemain yang bakal beraksi esok. Kita tidak mempunyai masalah untuk bertemu Scotland. Peluang untuk mara ke separuh akhir agak cerah,” katanya kepada Bernama.

– BERNAMA