Langkah Proaktif Akan Diambil Bagi Menangani Masalah Graduan Menganggur Di Sabah

Langkah Proaktif Akan Diambil Bagi Menangani Masalah Graduan Menganggur Di Sabah

0
SHARE
Datuk Dr Yusof Yacob...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menangani masalah graduan menganggur bagi membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata ini termasuk mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Majikan Sabah melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah serta pihak industri bagi mendapatkan maklumat awal kekosongan jawatan yang boleh ditawarkan sebelum ia disalurkan dalam setiap Karnival Pekerjaan anjuran jabatan.

“Sesi perkongsian maklumat turut dikendalikan Jabatan Tenga Kerja bersama Sabah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia cawangan Sabah bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan siswazah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Matbali Musah (UMNO – Lumadan) berkenaan apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri bagi membantu graduan menganggur pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Yusof berkata kerajaan negeri turut menekankan supaya pelabur dan majikan menggiatkan pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berskala besar termasuk sektor berorientasikan perkhidmatan profesional, perkilangan, minyak dan gas di seluruh Sabah.

Beliau berkata pelbagai program turut diadakan untuk tujuan ini antaranya Program Train Ride Sabah berlangsung di Stesen Keretapi Tanjung Aru dan Beaufort pada 10 dan 11 Ogos lepas serta Program Kembara Kerjaya Sabah yang akan diadakan pada 2 hingga 6 Sept ini di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau.

Selain itu, Kem Transformasi Minda Belia bagi membantu membina potensi dan minat dalam bidang perniagaan akan turut diadakan di lapan daerah iaitu Tawau, Semporna, Papar, Sipitang, Pulau Banggi, Kota Belud, Keningau dan Tenom, selain meneruskan program Pitchborneo di empat lokasi iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Ranau dan Tawau, katanya.

– BERNAMA