Laporan Penahanan 47 Rakyat Malaysia Di Kemboja Telah Disahkan Oleh Kementerian Luar

Laporan Penahanan 47 Rakyat Malaysia Di Kemboja Telah Disahkan Oleh Kementerian Luar

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Laporan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lalu telah disahkan sendiri oleh Kementerian Luar.

Penahanan ini dibuat atas pertuduhan kerana mereka disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian secara haram.

“Berikutan pemberitahuan itu, para pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh membuat lawatan konsular untuk bertemu tahanan tersebut untuk memastikan kesejahteraan mereka setelah menerima maklumat terperinci dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Dalam lawatan itu, para pegawai mendapati bahawa kebanyakan tahanan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang menarik,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sumber memberitahu individu terbabit yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan sejurus mereka tiba di Poi Pet pada 11 Disember lalu.

Menurut sumber juga, sebahagian besar individu yang ditahan telah dikenal pasti berasal dari Sabah dan Sarawak di mana sebuah agensi pekerjaan telah mengatur perjalanan mereka ke sana.

Kementerian Luar berkata bahawa pegawai Kedutaan Besar turut mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga sudah membawa perkara ini kepada perhatian pihak Kementerian Luar Negeri Kemboja dan mengemukakan Nota Diplomatik supaya tahanan itu dibebaskan,” katanya.

Katanya, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sedang memantau perkembangan kes itu dengan rapi dan bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya dari semasa ke semasa.