Laporan Siasatan ‘Double Six’ Bakal Diumumkan Sekiranya Pakatan Harapan Menang PRU14

Laporan Siasatan ‘Double Six’ Bakal Diumumkan Sekiranya Pakatan Harapan Menang PRU14

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang berjanji bahawa Pakatan Harapan akan mengumumkan laporan siasatan tragedi ‘Double Six’ sekiranya pihak pembangkang menawan Sabah dan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Berucap ketika pelancaran Forum DAP Sabah; Memperingati Tragedi Double Six – Menghormati Pemimpin Kita, Perjuangan Mereka, Perjuangan Kita di sini pada malam Selasa lepas, Lim berkata laporan siasatan itu seharusnya diumumkan empat dekad yang lalu dan tidak dirahsiakan sekian lamanya.

Tragedi tersebut yang berlaku pada 6 Jun 1976 meragut nyawa Ketua Menteri pada waktu itu Tun Fuad Stephens, tiga menteri dan seorang pembantu menteri dan enam lain yang mana dilihat sebagai titik perubahan dalam sejarah politik Sabah.

Sebelas mangsa tersebut terkorban dalam hanya 53 hari selepas mereka memenangi Pilihan Raya Negeri.

Bagaimanapun, punca kemalangan pesawat Nomad tersebut kekal sebagai satu misteri dan laporan siasatannya tidak pernah diumumkan dan ia terus dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu Batu Sumpah, Lim mengakui bahawa beliau tidak pernah mendengar mengenai Batu Sumpah di Keningau sejak dia buat pertama kalinya dilantik sebagai Ahli Parlimen pada 1968 kerana tiada MP dari Sabah pernah bercakap tentangnya.

“Saya hanya mengetahui mengenai Batu Sumpah tersebut ketika saya melawat Keningau pada Mac 2010 dan tiga janji terhadap agama, tanah dan adat Orang Asli sebagai asas Sabah untuk pembentukan Malaysia pada 1963.

“Saya bersedia untuk diperbetulkan tetapi Ahli Parlimen pertama yang bercakap tentang Batu Sumpah tersebut bukan orang Sabah, tetapi seorang ¬†Ahli Parlimen daripada Semenanjung Malaysia – saya sendiri selepas lawatan ke Keningau pada 2010,” kata beliau.

Lim menambah bahawa dia bercakap panjang lebar di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum 2013 mengenai Batu Sumpah tersebut, menyeru kepada semua Ahli Parlimen di kedua-dua bahagian politik, di Sabah, Sarawak dan Malaya untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menilai sama ada impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia telah ditepati ataupun dikhianati dalam lima dekad yang lepas.

Semenjak pilihan raya lepas, beliau berkata kedua-dua Ahli Parlimen dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong dan Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong sentiasa memastikan isu Batu Sumpah menjadi tumpuan dalam Parlimen.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil dengan pihak berkuasa kini memberi penekanan terhadap kepentingan Batu Sumpah.

“Bagaimanapun kepentingan Batu Sumpah bukanlah sebagai satu perkara untuk pelancongan atau warisan, seperti membelanjakan RM1 juta untuk memindahkannya dari Pejabat Daerah Keningau ke lokasi yang lebih ‘strategik’.

“Kita perlu memastikan ketiga-tiga janji terhadap agama, tanah dan adat Orang Asli di Batu Sumpah itu menjadi satu komitmen seumur hidup kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Ini adalah cabaran yang paling besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang, iaitu, untuk menanam ketiga-tiga janji Batu Sumpah ke hati dan minda pengundi Sabah,” katanya.

– HarianEkspres