Latheefa Letak Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Atas Keputusan Sendiri

Latheefa Letak Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Atas Keputusan Sendiri

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya hari ini mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata surat itu dihantar pada Isnin lepas dan ia adalah keputusan beliau sendiri dan sekaligus menepis spekulasi yang mendakwa beliau mendapat tekanan adalah tidak berasas.

“Sebaliknya, ia keputusan saya sendiri. Spekulasi bahawa saya diberi tekanan adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan tersebut.

“Semalam, saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan menjelaskan kepada beliau berhubung keputusan saya untuk meletakkan jawatan. Kami mengadakan perbincangan dengan penuh keikhlasan dan beliau faham kedudukan saya.

“Saya juga telah menjelaskan kepada beliau mengenai langkah yang sedang diambil dan usaha mendapatkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari luar negara. Beliau amat menyokong usaha itu,” tambah Latheefa.

Katanya lagi bahawa beliau mempunyai keyakinan bahawa SPRM tidak akan sekali-kali  berkompromi terhadap rasuah seiring dengan keupayaan pegawainya serta sokongan penuh Perdana Menteri.