Lebih 10,000 Penduduk Thailand Sertai Larian Menentang Kezaliman Kerajaan

Lebih 10,000 Penduduk Thailand Sertai Larian Menentang Kezaliman Kerajaan

0
SHARE
Thanathorn Juangroongruangkit (tengah) bersalaman dengan peserta larian di Bangkok...(Sumber Foto AFP)

BANGKOK, THAILAND – Penduduk Thailand melakukan satu demonstrasi terbesar sejak rampasan kuasa pada 2014 dengan menyertai acara larian ‘menentang kezaliman pemerintah’ semalam, sambil melaungkan slogan dan mengangkat tiga jari, iaitu simbol daripada filem ‘Hunger Games’.

Jumlah peserta yang dianggarkan lebih 10,000 mula berhimpun sebelum subuh di taman Bangkok bagi mengambil bahagian dalam acara menentang kerajaan pimpinan bekas ketua Prayut Chan O Cha itu, dan parlimen terdiri daripada barisan anggota yang setia kepada tentera.

Larian terbabit diketuai jutawan berkarisma, Thanathorn Juangroongruangkit, dari parti anti tentera yang berdepan ancaman pembubaran.

Thanathorn sebelum ini kehilangan taraf ahli parlimen dan turut berdepan beberapa tindakan undang-undang.

“Anda boleh rasai kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan. Saya berpendapat ia adalah langkah pertama untuk perubahan besar di Thailand,” katanya.

Sebelum acara bermula, orang ramai melaungkan slogan pro demokrasi dan berulang kali menjeritkan kata-kata seperti “Keluar, Prayut”.

Memetik laporan AFP, mereka (peserta larian) turut mengangkat tiga jari, iaitu tanda hormat yang dipopularkan filem pecah panggung, Hunger Games sebagai simbol kebebasan daripada pemerintah kuku besi.

“Saya mahu kerajaan yang mengambil berat perihal rakyat dan menggunakan wang untuk kebajikan kami dan alam sekitar, berbanding membeli kapal selam serta kereta perisai,” kata seorang peserta, Gig yang berpakaian seperti sebuah kereta perisai untuk larian itu.

Ribuan penduduk turut mengambil bahagian dalam acara berkenaan di seluruh Thailand, bermula dari wilayah Pattani di bahagian selatan hingga ke lokasi peranginan Chiang Mai di utara negara, dengan peserta mengangkat tiga jari sebaik berlepas dari garisan permulaan.

Prayut menyandang jawatan Perdana Menteri selepas pilihan raya tahun lalu, dengan mendapat sokongan barisan senat yang dilantik tentera.