Lebih 300 Mangsa Dikalangan Pelajar Terjejas Akibat Pencemaran Di Sekitar Pasir Gudang

Lebih 300 Mangsa Dikalangan Pelajar Terjejas Akibat Pencemaran Di Sekitar Pasir Gudang

0
SHARE

PASIR GUDANG, JOHOR BAHRU –  Pencemaran alam sekitar hasil dari pembuangan sisa toksik telah menyebabkan kes keracunan gas kimia berlaku dengan teruk di sekitar Taman Pasir Putih, Pasir Gudang sejak Khamis lalu.

Kes keracunan gas kimia ini telah banyak membuka mata dan kesedaran banyak pihak apabila lebih 300 mangsa terutamanya di kalangan pelajar di beberapa sekolah berhampiran Sungai Kim Kim terkesan dengan mengalami simptom loya, muntah dan pening dipercayai terhidu bahan kimia dalam tempoh seminggu ini sejak daripada tarikh kejadian pertama pada 7 Mac lalu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa mengarahkan penutupan 13 buah sekolah bermula Rabu bagi memastikan tiada mangsa baharu terkena tempias pencemaran bahan kimia tersebut.

Dalam satu kenyataan di halaman Facebook rasmi Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata: “Malangnya, saya diberitahu hari ini bahawa keadaan semakin kritikal. “Saya telah memerintahkan supaya semua sekolah dalam radius tiga kilometer ditutup serta-merta. Guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih berbahaya.”

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dilaporkan berkata bahawa salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan berhubung pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang akan dituduh di mahkamah esok.

”Pencemaran mungkin merebak berikutan kerja pembersihan sungai belum selesai dan hujan pada 11 Mac menjadikannya lebih buruk,” kata beliau yang mengulas mengenai keadaan yang berlaku.

Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar sudahpun menggerakkan aset di seluruh negara termasuk alat pengesan gas dan disertai 100 pegawai ke lokasi terjejas bagi menangani penularan pencemaran ke kawasan lain.

Manakala kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga turut mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.