Lelaki Warga China Dibenarkan Pulang Selepas Pulih Jangkitan ‘Koronavirus’

Lelaki Warga China Dibenarkan Pulang Selepas Pulih Jangkitan ‘Koronavirus’

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru pada 24 Jan kerana dijangkiti novel koronavirus 2019 (2019-nCov) dibenarkan pulang petang ini selepas keputusan ujian ulangan ketiga didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini, memaklumkan bahawa pesakit itu telah pulih sepenuhnya setelah menerima rawatan dengan ubat antiviral Kaletra (penggunaan off-label) pada 28 Jan lalu.

“Selepas lapan hari rawatan, keadaan pesakit bertambah baik dan telah sembuh sepenuhnya. Terkini keputusan ujian ulangan kali ketiga didapati negatif, selepas ujian pertama dan kedua juga didapati negatif. Pesakit seterusnya dibenarkan pulang pada petang ini,” katanya.

Sumber Foto; Bernama…

Terdahulu, Noor Hisham yang dipetik Bernama berkata bahawa kes keempat yang dijangkiti 2019-nCov itu telah dimasukkan ke hospital pada 24 Jan dengan gejala demam panas dan radang paru-paru (pneumonia).

Keadaan pesakit bertambah tenat pada hari kedua sehingga memerlukan bantuan oksigen dan kajian X-ray dada pada hari keempat menunjukkan tanda-tanda jangkitan bertambah tenat.

Oleh itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Permai, Johor Bahru yang diketuai Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Masliza Zaid.

Lelaki itu merupakan pesakit kedua 2019-nCov yang dibenarkan pulang selepas seorang kanak-kanak perempuan warga China, yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah turut dibenarkan pulang pada 4 Feb lalu.