Lelaki Warga Malaysia Dijatuhkan Hukuman Mati Melalui Aplikasi ‘Zoom’ Di Singapura

Lelaki Warga Malaysia Dijatuhkan Hukuman Mati Melalui Aplikasi ‘Zoom’ Di Singapura

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

SINGAPURA – Aplikasi ‘Zoom’ digunakan dalam satu sidang prosiding di mahkamah Singapura apabila seorang lelaki warga Malaysia telah dijatuhkan hukuman mati¬†atas kesalahan mengedar dadah, iaitu kes pertama di republik itu di mana hukuman mati dijatuhkan secara maya.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Punithan Genasan, 37, dijatuhkan hukuman itu secara dalam talian kerana kesalahan mengedar heroin pada 2011 berikutan Singapura masih di bawah perintah berkurung bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut jurucakap mahkamah tertinggi Singapura, pendekatan itu adalah bagi mengurangkan risiko virus merebak di pulau itu, yang kini antara negara Asia mencatatkan kadar jangkitan tertinggi.

“Untuk keselamatan semua pihak yang terbabit dalam prosiding, perbicaraan oleh Pendakwa Raya terhadap Punithan Genasan akan dilakukan secara persidangan video menggunakan aplikasi ¬†‘Zoom’…

“Ini adalah kes jenayah pertama di mana hukuman mati dijatuhkan dari jarak jauh di Singapura,” katanya.

Peguam Punithan, Peter Fernando, berkata anak guamnya menerima keputusan hakim menerusi ‘Zoom’ dan akan mengemukakan rayuan.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia mengkritik penggunaan Zoom atas dakwaan boleh mengganggu proses keadilan, lebih-lebih lagi dalam kes membabitkan hukuman mati.

Namun, Fernando berkata beliau tidak membantah prosiding menerusi sidang video kerana hukuman yang dijatuhkan hakim boleh didengar dengan jelas dan tiada hujah dikemukakan.

Banyak perbicaraan mahkamah di Singapura ditangguhkan sepanjang perintah berkurung sejak awal April lalu dan dijadualkan berterusan hingga 1 Jun, sementara prosiding kes yang dianggap penting diadakan menerusi sidang video.