Lokasi Jamal Telah Dikenal Pasti PDRM – Muhyiddin

Lokasi Jamal Telah Dikenal Pasti PDRM – Muhyiddin

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Segala teka-teki keberadaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang hampir sebulan menghilangkan diri ke Indonesia sejak 25 Mei lalu akhirnya diketahui.

Lapor sebuah portal akhbar tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia berjaya mengesan kedudukan Jamal yang kini dikenal pasti di sebuah lokasi di negara tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meminta kerjasama pihak berkuasa di Indonesia bagi membawa balik Jamal ke Malaysia.

“Kita sudah bekerjasama dengan Polis Indonesia dan semuanya berjalan lancar. Mereka (polis Indonesia) telah diberikan bayangan tindakan susulan untuk menahan Jamal…

“Kita akan ambil tindakan dan bawa beliau balik ke Malaysia,” katanya kepada media hari ini.

Sejak 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri dari tahanan di Hospital Ampang Puteri dekat ibu negara sebelum urusan dokumentasi jaminan mahkamah terhadap dirinya selesai.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam.

Jamal namun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Susulan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan PDRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal dan usaha bagi mengesannya diperhebatkan.

– MYNEWSHUB.CC