Macau Scam: Padah Seorang Guru Wanita Percaya Kenalan Di Media Sosial

Macau Scam: Padah Seorang Guru Wanita Percaya Kenalan Di Media Sosial

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Seorang guru wanita menjadi mangsa ‘Macau Scam’ selepas diperdaya seorang kenalan lelaki berasal dari Eropah yang dikenalinya menerusi aplikasi Instagram.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani dipetik berkata bahawa mangsa berusia 53 tahun itu berkenalan dengan lelaki terbabit sejak awal September lepas.

Menurutnya, selang beberapa hari perkenalan mereka, lelaki terbabit kemudian menawarkan mangsa hadiah yang akan dihantar kepadanya.

“Beberapa hari kemudian mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita bercakap dalam bahasa Melayu dan meminta mangsa membayar RM1,500 untuk pengurusan hantaran hadiah tersebut.

“Mangsa kemudian menuruti arahan wanita tersebut dengan memasukkan wang (RM1,500) ke satu akaun yang telah diberikan kepadanya…

“Bagaiamanapun, wanita tersebut sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta mangsa memasukkan RM4,000 lagi disebabkan wang tersebut tidak mencukupi dengan alasan pertukaran wang asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan mangsa hanya memasukkan baki wang RM4,000 ke dalam akaun bank yang sama pada 2 Oktober lalu.

“Selesai sahaja mangsa memasukkan wang tersebut, dia kemudian dihubungi sekali lagi oleh wanita terbabit dan memberitahu dia perlu membayar RM35,000…

“Sekiranya mangsa gagal membayar jumlah tersebut, maka dia akan ditahan okeh pihak berkuasa atas kesalahan menyeludup wang,” jelas Mustafa.

Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan perkara tersebut dan kemudian terus melaporkannya di balai polis berhampiran.

Mustafa memberitahu siasatan lanjut pihaknya masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, terdapat tiga lagi laporan berhubung ‘Macau Scam’ diterima di seluruh negeri semalam iaitu dua di Sibu dan satu di Miri.

Tiada kerugian dicatatkan dalam ketiga-tiga kes berkenaan.