‘Macau Scam’ Perdaya Pengurus Pentadbiran RM329,400 Di Sarawak

‘Macau Scam’ Perdaya Pengurus Pentadbiran RM329,400 Di Sarawak

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Satu sindiket ‘Macau Scam’ yang masih aktif telah menyebabkan seorang Pengurus Pentadbiran mengalami kerugian sebanyak RM329,400 di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata lelaki berusia 52 tahun berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada pihak kastam bahawa mangsa mempunyai hutang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tertunggak yang perlu dijelaskan di Pulau Pinang.

“Mangsa kemudian menafikan perkara tersebut kerana tidak pernah berdaftar atau mempunyai apa-apa syarikat di negeri tersebut.

“Panggilan itu kemudian dikatakan disambung ke talian Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang dan mangsa diarah bercakap dengan seorang yang menyamar sebagai pegawai polis yang mengatakan mangsa terlibat dengan satu lagi kes iaitu sindiket dadah dan penggubahan wang haram. Mangsa sekali lagi menafikan kesemua dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustafa yang dipetik Bernama berkata bahawa mangsa kemudian diarahkan bekerjasama serta merahsiakan perkara tersebut kononnya bagi melancarkan siasatan yang sedang dijalankan dan diarahkan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan suspek.

“Di antara 2 hingga 5 April, sebanyak 31 tranksaksi pemindahan yang melibatkan sejumlah RM329,400  telah dilakukan mangsa yang dimasukkan ke lima akaun berbeza kononnya milik juruaudit di Jabatan Audit Negara.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa cuba menghubungi dan menghantar WhatApps kepada suspek namun gagal. Menyedari dirinya telah ditipu dan menerima panggilan palsu mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Jelas Mustafa, pihak polis atau agensi kerajaan tidak akan meminta orang ramai membayar wang ke dalam mana-mana akaun peribadi.

“Jangan panik dan mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali. Beritahu anggota keluarga atau rakan-rakan terdekat mengenai panggilan telefon yang mencurigakan,” katanya.