Macau Scam Punca Jurutera Rugi RM24,300

Macau Scam Punca Jurutera Rugi RM24,300

0
SHARE

GEORGE TOWN, PULAU PINANG – Seorang jurutera sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini mengalami kerugian RM24,300 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam pengubahan wang haram dan dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A.Anbalagan berkata jurutera berusia 29 tahun itu menerima panggilan telefon ketika berada di tempat kerjanya di kawasan Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4, dekat sini pada pukul 12.20 tengah hari dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata jurutera itu ditipu kononnya dia terlibat dengan kes penggubahan wang haram serta kes berkaitan dadah, dan ada waran tangkap dikeluarkan keatasnya.

Katanya lelaki itu yang takut ditahan polis, telah memberikan kata laluan akaun banknya kepada suspek sebelum turut memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sebanyak tiga kali yang diterimanya menerusi telefon bimbit kepada suspek.

“Lelaki itu hanya menyedari dia ditipu selepas menghubungi dan membuat semakan dengan polis Bukit Aman sebelum dimaklumkan bahawa ia adalah sindiket penipuan Macau Scam,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Menurutnya jurutera itu kemudian membuat semakan akaun banknya dan mendapati wang simpanannya RM24,300 telah dipindahkan ke satu akaun tempatan.

Anbalagan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan pemilik akaun yang digunakan sindiket Macau Scam itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA