Mahkamah Beri Hak Penjagaan Anak Kepada Ahok

Mahkamah Beri Hak Penjagaan Anak Kepada Ahok

0
SHARE
Sumber Foto; tribunnews.com

JAKARTA, INDONESIA – Mahkamah Daerah Jakarta Utara menerima petisyen penceraian bekas Gabenor Jakarta Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama terhadap isterinya Veronica Tan dan memberikan hak penjagaan dua anak mereka yang masih di bawah umur kepada Ahok.

Ahok memfailkan petisyen penceraian di mahkamah pada 5 Januari atas tuduhan Veronica berlaku curang.

“Kami mengambil keputusan agar perkahwinan itu dibubarkan,” kata ketua hakim Sutaji kepada mahkamah pada Rabu.

Hakim turut memberikan hak penjagaan kedua-dua anak pasangan itu yang masih di bawah umur, Nathania Berniece Zhong dan Daud Albeener Purnama, kepada Ahok.

Anak sulung mereka, Nicholas Sean Purnama, akan membuat keputusannya sendiri memandangkan dia sudah cukup umur.

Hakim menemui bukti yang mencukupi terhadap tuduhan kecurangan Veronica dan menyatakan bahawa dia telah mengabaikan tugasnya sebagai seorang isteri dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain bernama Julianto Tio.

Bagaimanapun, disebabkan bekas gabenor itu masih lagi menjalankan hukuman dua tahun penjaranya di pusat tahanan Mako Brimob di Depok, Jawa Barat, Veronica akan menjaga anak mereka buat sementara sebelum menyerahkan mereka kepada Ahok setelah tempoh hukumannya berakhir.

Veronica, yang tidak menghadiri kesemua sesi perbicaraan penceraian itu, juga diarahkan untuk membayar yuran perbicaraan itu yang berjumlah Rp 476,000 (RM125.21)

Ahok diwakili pasukan peguamnya yang diketuai Fify Lety Indra, yang juga merupakan adik perempuannya.