Mahkamah Melarang Suami Ziana Zain Bertemu Anaknya

Mahkamah Melarang Suami Ziana Zain Bertemu Anaknya

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Mahkamah telah mengekalkan syarat jaminan yang menyaksikan suami penyanyi popular, Ziana Zain iaitu Armin Zaharin dilarang menemui anak yang didakwa dicederakannya, tiga bulan lalu.

Lapor mStar Online, keputusan tersebut diputuskan Majistret, Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana ia sudah tertakluk dalam syarat jaminan terhadap Armin yang dibenarkan mahkamah sebelum ini.

Selain tidak dibenarkan mendekati anak yang dicederakannya itu, Armin atau nama penuhnya Armin Zahari Ahmad Zambri juga tidak dibenarkan mendekati pengadu iaitu Ziana atau Siti Roziana Zain sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Namun begitu, larangan itu tidak termasuk tiga anak tertuduh yang lain memandangkan keputusan larangan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Terdahulu, Armin yang diwakili peguam Mohd. Rizal Bahari mengemukakan permohonan berkenaan secara lisan dengan alasan Armin mahu bertemu dengan anaknya pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Turut hadir pada prosiding tersebut adalah peguam pemerhati yang dilantik penyanyi itu, Luqman Mazlan dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Jun depan bagi pengurusan kes dan tarikh perbicaraan.

Sekadar mengimbas kembali, pada 15 Mei lalu, Armin mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam di bahagian tangan seorang anaknya menggunakan rotan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara jam 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu, di kediaman mereka di Denai Alam, di sini.

Jika disabit bersalah, Armin boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan tarikh 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes permohonan cerai yang difailkan Ziana.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas Armin enggan melafazkan talak secara baik dengan alasan mahu menemui semua anak mereka.

Ziana dan Armin bernikah pada Mei 1998, dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

– MYNEWSHUB.CC