Main Permainan Komputer Tanpa Henti Punca Remaja Thailand Meninggal Dunia

Main Permainan Komputer Tanpa Henti Punca Remaja Thailand Meninggal Dunia

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Bermain permainan komputer tanpa henti punca kematian seorang remaja Thailand yang ditemui mati di kediamannya sendiri di Udon Thani, utara Thailand.

Memetik laporan akhbar Daily Mail, Piyawat Harikun, 17, ketika musim cuti persekolahan yang bermula pada akhir Oktober lalu dihabiskan dengan bermainan permainan komputer di dalam bilik.

Ibu bapanya berkata, Harikun berjaga sepanjang malam dan kemudian menarik tirai biliknya waktu siang untuk bersambung bermain permainan itu.

Mereka akan membawa makanan ke biliknya dan menyuruhnya berhenti, namun dia enggan berbuat demikian.

Ayahnya, Jaranwit pergi ke biliknya petang semalam dan mendapati anaknya tersungkur dari kerusi komputer.

Jaranwit, seorang pegawai tentera berkata dia cuba membangunkan anaknya, namun sudah terlambat.

Pasukan perubatan yang memeriksa mayat remaja itu berkata, mangsa meninggal dunia akibat strok, yang mereka percaya puncanya bermain permainan komputer secara berterusan sepanjang malam.

Jaranwit mengakui anaknya itu ketagih permainan komputer dan memberi nasihat supaya ibu bapa lain tidak membenarkan anak mereka membuat perkara sama.

“Anak saya seorang yang bijak di sekolah, tetapi dia mempunyai masalah besar iaitu ketagih permainan komputer,” katanya.