Majlis Solat Hajat Diadakan Penduduk Pekanbaru Bagi Meminta Hujan Turun

Majlis Solat Hajat Diadakan Penduduk Pekanbaru Bagi Meminta Hujan Turun

0
SHARE

PEKANBARU, INDONESIA – Majlis solat hajat beramai-ramai bagi meminta hujan turun bagi mengurangkan kawasan sekitar yang diselubungi jerebu tebal telah diadakan di sini oleh penduduk di ibu negeri wilayah Riau.

Menurut penduduk tempatan yang dipetik AFP, mereka mengharapkan hujan dapat memadamkan kebakaran hutan yang marak dan membersihkan udara di Indonesia daripada asap jerebu.

Asap tebal memenuhi seluruh bandar ini sehinggakan langit menjadi gelap walaupun ketika waktu tengah hari dan memaksa sekolah-sekolah ditutup.

Kira-kira 1,000 orang menyertai solat hajat tersebut yang diadakan di sebuah padang terbuka.

“Saya berdoa supaya hujan turun dengan segera dan asap tebal ini hilang secepat mungkin,” kata seorang pesara kerajaan, Rahmad, 57, kepada agensi berita AFP.

“Keadaan memang sangat teruk sejak sebulan lalu. Saya sukar bernafas jika tidak memakai topeng hidung dan mulut. Sebilangan jiran saya juga jatuh sakit,” tambahnya.

Pembakaran terbuka di Indonesia telah menyebarkan asap beracun itu sehingga ke Malaysia dan mencetuskan perbalahan diplomatik.

Singapura pula menasihatkan penduduknya supaya mengurangkan aktiviti luar akibat jerebu.

Sehingga kini, Jakarta masih bergelut untuk mengawal kebakaran hutan terutamanya di Kalimantan dan Sumatera.

Banyak kebakaran itu melibatkan hutan tanah gambut yang dibersihkan untuk tujuan perladangan.

“Saya harap petani dan syarikat besar berhenti membakar hutan. Bencana ini berpunca daripada perbuatan manusia,” tegas Rahmad selepas solat hajat selesai.