Malaysia Dan Singapura Bertemu Atas Tambak Johor Sebagai Simbolik Persetujuan Projek RTS

Malaysia Dan Singapura Bertemu Atas Tambak Johor Sebagai Simbolik Persetujuan Projek RTS

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Malaysia dan Singapura bakal “bertemu” atas Tambak Johor pagi ini bagi menyatakan “secara simbolik” persetujuan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, sama-sama menjadi “saksi” simbolik persetujuan itu.

Memetik laporan Bernama, pada pertemuan ringkas itu juga, Malaysia akan diwakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.Sementara itu, Singapura bakal diwakili Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ia juga dianggap bersejarah dan simbolik memandangkan ini adalah pertemuan pertama kali antara Muhyiddin dan Lee di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai antara laluan darat “tersibuk di dunia” dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Ini juga pertama kali Muhyiddin “bersemuka” dengan Lee sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sementara Lee baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lepas, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.

Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju “untuk buat kali terakhirnya”  meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu, telah melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia itu, kini dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telahpun dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan dijangka siap akhir hujung tahun 2026.