Malaysia-Indonesia Setuju Penggunaan Dron Bagi Mengawasi Keselamatan Sempadan

Malaysia-Indonesia Setuju Penggunaan Dron Bagi Mengawasi Keselamatan Sempadan

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Malaysia dan Indonesia pada asasnya bersetuju dengan penggunaan teknologi seperti dron bagi mengawasi keselamatan dan pemantauan jenayah sempadan kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perjanjian persempadanan Malaysia dan Indonesia yang akan diperbaharui tahun hadapan, akan menjurus kepada penggunaan teknologi bagi mengawal keselamatan sempadan, dalam menangani isu sempadan demi kepentingan bersama.

“Memorandum persefahaman berkaitan persempadanan antara kedua-dua negara sedang diperhalusi dan akan ditandatangani tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Muhyiddin dalam lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Hari ini beliau mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Kerja (Sumber Manusia) Indonesia, Ida Fauziyah dan Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly, bagi membincangkan isu kepentingan bersama.

Mengulas pertemuannya bersama Yasonna, Muhyiddin berkata Indonesia bersetuju untuk melaksanakan penggunaan dron dan penggunaan teknologi lain dalam memantau, dan penguatkuasaan sempadan kedua- dua negara.

Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam menangani isu jenayah sempadan seperti penyeludupan, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan jenayah merentas sempadan.

“Sempadan (darat) Malaysia dan Indonesia (contohnya, di Sabah dan Sarawak dan Kalimantan) adalah lebih 1,000km, dan sudah tentulah menyukarkan pengawasan dan memerlukan penggunaan teknologi,” katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ida Fauziyah, Muhyiddin berkata antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan kemasukan pekerja tanpa izin.

“Malaysia dan Indonesia sepakat, isu kemasukan pendatang tanpa izin perlu ditangani secara bersama dan serius,” katanya.

– BERNAMA