Malaysia, Singapura Dijangka Umum Keputusan Rundingan Pembukaan Sempadan Awal Ogos Ini –...

Malaysia, Singapura Dijangka Umum Keputusan Rundingan Pembukaan Sempadan Awal Ogos Ini – Hishammuddin

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan Singapura dijangka mengumumkan keputusan pembukaan sempadan kedua-dua negara untuk dua kategori –  Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA)  – pada awal bulan depan.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dipetik Bernama berkata RGL melibatkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan perniagaan penting serta urusan rasmi melibatkan kedua-dua negara sementara PCA bertujuan membolehkan rakyat Malaysia dan Singapura yang merupakan pemegang pas imigresen jangka panjang (untuk tujuan perniagaan dan bekerja) pulang secara berkala ke negara masing-masing bagi tujuan cuti pendek.

“Menerusi perbincangan ini, Malaysia konsisten menekankan kepentingan untuk kedua-dua negara mencapai kesepakatan khususnya dari sudut Standard Operating Procedure (SOP) dan protokol kesihatan awam COVID-19…

“Ia penting bagi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat kedua-dua negara yang terlibat dalam pergerakan rentas sempadan ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, semalam.

Selain dua kategori itu, kedua-dua negara turut mengadakan rundingan untuk pergerakan rentas sempadan kategori rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang alik setiap hari atas urusan kerja selain pembukaan sempadan sepenuhnya.

Sementara itu, Wisma Putra berkata selain Singapura, rundingan kerajaan dengan negara lain yang dikategorikan sebagai zon hijau COVID-19 bagi melaksanakan pergerakan rentas sempadan ialah dengan Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan, yang masih berlangsung.

Rundingan itu dilaksanakan khususnya dengan enam negara zon hijau COVID-19 yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini, kata kenyataan itu.

Rundingan dengan negara zon hijau COVID-19 yang lain juga ialah mengenai pembukaan sempadan bersyarat kepada beberapa kategori pengecualian iaitu atas urusan perniagaan penting, pelajar antarabangsa yang mahu meneruskan pengajian, serta kemasukan bekalan makanan dari dan ke negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Hishammuddin berkata segala keputusan mengenai perkara itu hanya akan dimuktamadkan setelah mendapat persetujuan di Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Sesungguhnya, pelaksanaan pembukaan sempadan ini bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan penelitian dan persediaan rapi serta kesefahaman antara Malaysia dengan negara-negara terlibat.”

“Justeru, perbincangan ini mengambil masa sebelum ia boleh dimuktamadkan. Dalam hal ini, apabila pergerakan rentas sempadan ini dibolehkan, Wisma Putra akan berusaha sebaiknya demi memastikan ia memanfaatkan kedua-dua negara dan pada masa sama tidak menjejaskan usaha kita memerangi wabak COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wisma Putra menyambut baik cadangan dikemukakan menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP, supaya Tabung COVID-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperluaskan bagi membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara.

Katanya, menerusi dana itu, lebih banyak usaha dapat dilakukan dan Wisma Putra akan terus berusaha termasuk berunding dengan kerajaan negara-negara terlibat demi memastikan urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dapat dipermudahkan.