Malaysia Yakin PBB Platform Terbaik Atasi Masalah Global

Malaysia Yakin PBB Platform Terbaik Atasi Masalah Global

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Malaysia yakin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyambut ulang tahun ke-73 hari ini, akan terus kekal sebagai platform terbaik untuk meluaskan kerjasama antarabangsa serta mengatasi masalah global, berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa dan saling menghormati.

Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Multilateral Kementerian Luar Negeri, Datuk Kennedy Jawan berkata hari ini, Malaysia berharap dapat bekerjasama secara lebih mendalam dengan anggota dan Sekretariat PBB dalam melaksanakan tanggungjawabnya, seperti termaktub dalam Piagam PBB.

“Malaysia akan teruskan usaha dan komitmennya untuk meneroka resolusi konflik di Palestin dan menangani krisis pelarian Rohingya.

“Malaysia juga akan terus bersaing untuk berada dalam kedudukan strategik di badan antarabangsa itu, dengan meletakkan calon di Majlis Keselamatan PBB (2036-2037), Pertubuhan Maritim Antarabangsa (2020-2021), UNESCO (2019-2023) dan badan antarabangsa lain,” katanya kepada Bernama dalam temubual menerusi emel, sempena sambutan Hari PBB 2018.

Hari PBB menandakan Piagam badan dunia itu mula berkuatkuasa pada 24 Oktober 1945.

Kennedy berkata, Malaysia juga komited untuk aktif dalam rundingan mengenai pembaharuan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), yang menjadi sebahagian usaha badan antarabangsa tersebut bagi memperbaiki struktur organisasi 193 anggota, termasuk mengukuhkan Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

“Justeru, Malaysia akan terus menyuarakan pandangannya, bahawa pembaharuan UNSC hanya akan berhasil jika terdapat keikhlasan dan hasrat politik yang kuat dalam kalangan negara anggota,” katanya.

– BERNAMA