Mampukah Mahfuz Pertahan Pokok Sena Atas Tiket Amanah?

Mampukah Mahfuz Pertahan Pokok Sena Atas Tiket Amanah?

0
SHARE
Datuk Mahfuz Omar (Sumber Foto; watan-online.com)

ALOR SETAR, KEDAH – Penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kali ini, bekas pimpinan utama Pas itu akan bertanding atas tiket Amanah, iaitu salah satu gabungan parti pembangkang dalam Pakatan Harapan.

Nama Mahfuz diumumkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam ceramah perdana parti itu di Hutan Kampung di sini malam tadi.

Mohamad Sabu berkata, calon Amanah akan bertanding tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada PRU-14.

Mahfuz mula bertanding Parlimen Pokok Sena pada tahun 1995 dengan mewakili Pas dan berjaya memenangi kerusi itu pada tahun 1999, 2008 dan 2013.

Pada PRU 2013, beliau menewaskan calon daripada Barisan Nasional, Datuk Shahlan Ismail dengan majoriti 3,935 undi.

Dalam pada itu, turut diumumkan bertanding ialah Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur.

Calon Parlimen Sik pula akan ditandingi Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Sik, Azli Uda manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd. Khairizal Khazali menjadi pertaruhan di Parlimen Padang Terap.