Manifesto BN PRU14; Hak Penyeliaan Kawalan Elektrik Dan Gas Kepada Sabah Dan...

Manifesto BN PRU14; Hak Penyeliaan Kawalan Elektrik Dan Gas Kepada Sabah Dan Sarawak

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berjanji akan mengembalikan hak untuk penyeliaan kawalan elektrik dan gas kepada Sabah dan Sarawak.

Itu adalah antara aku janji Manifesto BN bertemakan ?Bersama BN Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN di Axiata Arena di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN berjanji akan mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya terambil.

“Kalau kita terambil, sengaja diambil di zaman pemimpin berkenaan, kita akan kembalikan (hak) semula, yang mana secara pentadbiran kita telahpun lakukan.

“Umpamanya nisbah guru di Sabah dan Sarawak hendaklah mengikuti nisbah 90 peratus anak tempatan dan 10 peratus untuk anak Semenanjung. Kini, kita sudahpun mencapai 87 peratus bagi kedua-dua negeri. Maknanya hampir tercapai janji kita untuk rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pengumuman Perdana Menteri itu disambut dengan tepukan dan laungan gemuruh ‘Terima Kasih’ penyokong BN yang memenuhi stadium tersebut.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam aku janji itu, Najib juga mengumumkan Sarawak akan memulakan projek rintis sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara dan tidak meminggirkan bahasa Malaysia

Selain itu, beliau berkata kerajaan BN akan menambah peruntukan untuk kajian ukur bagi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Beliau berkata kerajaan BN juga berjanji akan meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sejauh 2,294 kilometer bernilai RM40 billion tanpa tol selain terus membina 12,500 km jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Kita mesti jaga Sabah Sarawak. Kita tak kutuk orang Sabah dan Sarawak. Kita tak hina orang Sabah dan Sarawak. Kita akan terus memperjuangkan kepentingan orang Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengakhiri aku janji untuk Sabah dan Sarawak, Najib menyampaikan serangkap pantun khas:

Bumi Kenyalang bumi yang indah

Di bawah Bayu gelaran Sabah

Selagi Barisan Nasional terus memerintah

Sabah dan Sarawak akan tatap dijulang maruah

– BERNAMA