Masih Hidup Kah Keadilan Perundangan Di Sabah?

Masih Hidup Kah Keadilan Perundangan Di Sabah?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Benarkah keputusan mahkamah menolak rayuan saman Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah pada 28 Disember lepas jelas membuktikan bahawa ada usaha pihak tertentu dalam kerajaan Warisan, memperlekehkan kedaulatan undang-undang negeri Sabah?.

Penolakan itu sehingga kini dilihat masih menarik perhatian ramai pengamal politik, rakyat serta golongan akademik malahan ada sesetengah pihak yang menyifatkan penolakan itu berunsur jahat dan menafikan Sabah sebagai sebuah negeri yang memiliki perlembagaan sendiri.

Ketika mengulas persoalan yang sama, Syihab Al-Hadi seorang penganalisis politik bebas berkata “rakyat ketika ini terlalu bijak untuk memproses maklumat dan setiap rakyat juga bebas menyuarakan pandangan mereka selagi ianya masih selari dengan undang-undang negara.”

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Maximus Ongkli sebelum ini turut melahirkan kekecewaan di atas keputusan itu dengan berkata;

“Kami (PBS) menyertai pandangan awam. Dalam mencapai keadilan, kita hormat kedaulatan dan pembelaan perlembagaan,”

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili…

“Dalam kes ini, ia adalah pembelaan Perlembagaan Sabah. Malangnya mahkamah lebih mengutamakan keputusan saman yang dijangkakan dengan mengatakan ia akademik. Tetapi itu bukan tujuan saman Tan Sri Musa Aman, beliau lebih menumpukan kepada sudut undang-undang – sama ada proses pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebagai Ketua Menteri mematuhi perlembagaan negeri,” Ongkili dipetik sebagai berkata sebagaimana yang diterbitkan oleh Harian Ekspress sebelum ini.

Ongkili melihat bahawa mahkamah memutuskan berdasarkan bukti baharu yang merujuk Shafie adalah Ketua Menteri yang sah kerana mempunyai bilangan Ahli Dewan Undngan Negeri (ADUN) tertinggi yang menyokong beliau.

“Kedaulatan undang-undang mesti dihormati, dan tentu sahaja, ini adalah pembelaan perlembagaan. Ia lebih penting dan segera, daripada melihat pada kesudahan yang dikatakan ‘akademik’… kami kesal kerana keputusan Mahkamah gagal memberi keutamaan kepada kedaulatan undang-undang,” kata Ongkili.

Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut tidak bersetuju dengan keputusan berat sebelah itu dengan berkata “isunya bukan Shafie sudah mendapat sokongan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri).”

“Isu lebih besar dan signifikan yang perlu diputuskan Mahkamah Rayuan ialah apakah Tuan Yang Terutama (TYT) mempunyai kuasa untuk memecat seorang Ketua Menteri yang telah dilantik atau tidak,”

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan…

“Rakyat mahu Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang arif membuat tafsiran Perlembagaan Sabah kerana kegagalan untuk membuat tafsiran itu akan menyebabkan politik Sabah sentiasa bergolak,” Rahman dipetik sebagai mengulas seperti yang diterbitkan oleh portal berita Free Malaysian Today (FMT).

Tarikh 7 November lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Juhar dan Shafie yang menuntut mahkamah terhadap pengisytiharan Musa sebagai Ketua Menteri.

Ironi di sini ialah kes Musa menentang Shafie dirujuk mengikut kes negeri Perak yang dengan jelas menolak Sabah memiliki perlembagaan sendiri.

“Adakah Sabah sujud kepada undang-undang Malaya atau Borneo?.. Jangan lacurkan Perlembagaan Sabah semata-mata untuk keterusan politik peribadi pemimpin tertentu,” – persoalan ini ditimbulkan oleh rata-rata rakyat Sabah.

Peguam dan beberapa orang aktivis bebas ketika mengulas kes ini turut berkata “Datuk Douglas Lind yang mewakili Shafie tersilap besar dengan mengambil kira ‘fakta lojik’, yakni Shafie mempunyai bilangan tertinggi ADUN sebagai faktor ‘akademik’ sebagai penolakan rayuan Musa pada 28 Disember lepas.”

Fakta akademik yang perlu disemak oleh pasukan peguam Shafie ialah, pada jam 11.05 malam yang bertarikh 10 Mei 2018, Musa telah mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dengan bilangan ADUN tertinggi berbanding Shafie, ini adalah FAKTANYA.

Keputusan PRU-14 (Sabah)…
Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada jam 11.05 malam yang bertarikh 10 Mei 2018 di Istana Negeri Sabah…

Kenyataan ini cukup jelas yang harus diambil perhatian oleh pengamal undang-undang di negara ini khususnya di Sabah.

Banyak kerosakan undang-undang telah berlaku menjelang dua tahun pemerintahan parti Warisan di Sabah.

Soalnya rakyat Sabah bukan tidak menghormati undang-undang, atau tidak menghormati keputusan mahkamah, namun keputusan berat sebelah sebagaimana yang telah berlaku menimbulkan keraguan rakyat terhadap integriti pengamal undang-undang serta institusi kehakiman di negeri ini.

Memetik kenyataan respondan awam pula, mereka berkata “Peguam boleh bercakap apa sahaja berdasarkan keraguan fakta atau atau apa juga yang boleh ditafsir untuk mematahkan keraguan dan hakim boleh memutuskan, tetapi peguam atau hakim tidak boleh mengatasi kuasa rakyat dan kuasa Tuhan.”

“Penafian hak Musa sebagai Ketua Menteri yang sah, satu contoh pencabulan perlembagaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.”

“Satu lagi kes pencabulan undang-undang di negeri Sabah ialah pelantikan Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) Datuk Amarjit Singh pada Ogos 2018.”

“Seksyen 3 dalam enekmen Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dengan jelas menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam negeri Sabah seharusnya dikalangan anggota perkhidmatan awam.”

“Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam.”

“Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 9 Oktober lalu mengisytiharkan pelantikan Amarjit sebagai tidak sah, tetapi Shafie berkeras untuk mempertahankan kedudukan orang kanannya itu yang memperlihatkan keangkuhan kerajaan Shafie.”

Sumber foto dipetik daripada portal berita tempatan…

“Dua kes di atas merupakan pendahulu kepada lebih banyak lagi pencabulan undang-undang di negeri Sabah, yang meletakkan masa depan negeri tercinta ini di ambang kehancuran.”

“Atas sebab itu apabila PSS (Pas Sementara Sabah) diimplementasikan oleh Kerajaan Warisan untuk 600 ribu orang warga Filipina, keyakinan untuk melihat PSS tersebut dibatalkan adalah terlalu mustahil sekalipun majoriti rakyat Sabah membantahnya kerana konsep yang dilaungkan oleh Warisan “Sabah Kita Punya” jelas menunjukkan pemimpin Warisan semakin besar lebih daripada suara rakyat,” tambah mereka lagi.