Mati Ditembak Gara-Gara Berebut Wanita

Mati Ditembak Gara-Gara Berebut Wanita

0
SHARE
YAHYA (kiri) menunjukkan pistol yang digunakan suspek untuk menembak seorang lelaki...

IPOH, PERAK – Hanya kerana berebutkan wanita, seorang lelaki mati ditembak menggunakan pistol oleh suspek yang dikatakan cemburu dalam kejadian di Ladang Sungai Rui, Gerik baru-baru ini.

Suspek berusia 41 tahun itu bertindak sedemikian selepas wanita yang juga kekasihnya itu cuba dirujuk semula oleh mangsa.

Mangsa berusia 38 tahun dikenali sebagai Kamarulzaman Safri dan wanita berkenaan merupakan bekas suami isteri sebelum mereka bercerai pada Disember lalu.

Dia mati akibat terkena tembakan pada bahagian kepala, dada dan perut…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, suspek dan wanita berusia 38 tahun itu telah ditahan bersama seorang lagi lelaki lain dalam beberapa operasi di sekitar Gerik pada Selasa lalu.

Hasil siasatan awal katanya, suspek yang bekerja sebagai penjawat awam dan wanita itu telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

“Suspek lelaki juga membawa polis ke rumah ibunya di Kampung Jong, Gerik dan menunjukkan sepucuk pistol jenis Colts Convenent yang digunakan untuk menembak mangsa selain 35 butir peluru hidup,” katanya di Ipoh semalam.

Menurut Yahya, motif pembunuhan adalah dipercayai berpunca daripada cemburu dan perebutan seorang wanita.

Jelasnya lagi, kesemua suspek yang ditahan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal berkuasa tinggi di kawasan Ladang Sungai Rui pada 8 April lalu.