Mayat Warga Emas Ditemui Dengan Rusuk Kanan Berlubang

Mayat Warga Emas Ditemui Dengan Rusuk Kanan Berlubang

0
SHARE
Mayat lelaki warga emas ditemui mati di tebing Sungai Padas...

BEAUFORT, SABAH – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan rusuk kanannya berlubang di tebing Sungai Padas, berhampiran Kampung Bakalau, di sini,  Isnin lepas.

Mayat  Yen Ket Fah@Peter, 66, dijumpai kira-kira jam 2.50 petang oleh seorang penduduk kampung yang terhidu bau busuk dari arah sungai berkenaan.

Ketika mengesahkan penemuan itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abd Razak berkata mangsa berada dalam keadaan tertiarap, berpakaian lengkap dan memakai stoking tanpa kasut.

Bahagian rusuk kanannya berlubang manakala tangan kanannya hanya tinggal tulang dipercayai telah dimakan haiwan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Azmir, berdasarkan keadaan fizikal mangsa, lelaki berkenaan disyaki meninggal dunia antara tempoh tiga atau empat hari lalu.

Mayat mangsa  dihantar ke Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.