Menteri Belia Sukan Tunjuk Contoh Terbaik Buat Penyokong Bola Sepak Tanah Air

Menteri Belia Sukan Tunjuk Contoh Terbaik Buat Penyokong Bola Sepak Tanah Air

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan contoh terbaik buat seluruh penyokong bola sepak tanah air apabila bertindak mengutip sampah di bangku penonton selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Video berdurasi 28 saat yang tular di laman media sosial facebook itu jelas menunjukkan Syed Saddiq yang memakai jersi Harimau Malaya sedang memasukkan sampah yang ditinggalkan di bangku penonton ke dalam plastik hitam.

Pelbagai pihak turut memuji tindakan beliau dan menularkan gambar serta video berkenaan termasuk ketua jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

“Satu contoh yang terbaik ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan kita yang baharu,” jelas Dharma di ruangan Facebook miliknya berserta gambar Syed Saddiq yang sedang mengutip sampah di SNBJ.

Sebelum ini, tindakan penyokong Jepun mengutip sampah di dalam stadium setiap kali selepas aksi pasukan mereka di Piala Dunia Russia 2018 turut mendapat perhatian dunia.

Justeru, tindakan Syed Saddiq seharusnya dijadikan contoh buat seluruh rakyat Malaysia dan bukan sahaja bagi peminat bola sepak, malah juga untuk semua peminat sukan lain.