Menyamar Setiausaha Sulit Agong, Seorang Peniaga Gerai Didakwa Di Mahkamah

Menyamar Setiausaha Sulit Agong, Seorang Peniaga Gerai Didakwa Di Mahkamah

0
SHARE

PUTRAJAYA – Seorang peniaga gerai makan di Temerloh, Pahang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menipu RM100,000 ke atas seorang wanita yang melibatkan proses pencairan dan pembekuan aset Istana Sarawak di mana akan memberi pulangan tiga kali ganda.

Tertuduh, Mohd. Salimie Baharudin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 26 tahun itu didakwa memperdayakan Yang Zuriaty Musa, 41, untuk menyerahkan RM100,000 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh dan sebuah syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Presint 10, Putrajaya, pada 1 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan RM40,000, namun tertuduh yang diwakili peguam, Noor Svetlana Nordin merayu jaminan rendah dibenarkan.

Shah Wira membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 8 Ogos lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mendakwa mempunyai gelaran ‘Datuk Seri’ dan bekerja sebagai Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong serta Penasihat Istana Negara bagi membantu siasatan kes penipuan berhubung desakan terhadap mangsa untuk┬ámelakukan pembayaran RM100,000 untuk menyelesaikan pembekuan aset Istana Sarawak bernilai RM1.8 juta.

Turut ditahan pegawai kanan polis bantuan berpangkat Asisten Superintendan yang bertindak sebagai orang tengah dalam kes jenayah itu.