Meskipun Kesal, AMANAH Hormati Keputusan Hamzah Untuk Bertanding Di PRK Sandakan

Meskipun Kesal, AMANAH Hormati Keputusan Hamzah Untuk Bertanding Di PRK Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak menghalang bekas pengasas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan selagi tidak membabitkan parti itu dalam kempennya, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad hari ini.

Khalid berkata meskipun AMANAH kesal dengan tindakan bekas ahli parti itu, beliau tetap menghormati keputusan Hamzah untuk  untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

“Kita menghormati keputusannya (Hamzah) untuk keluar daripada Amanah dan bertanding sebagai calon Bebas. Itu adalah haknya.

Hamzah Abdullah..

“Tetapi saya berharap Hamzah menentukan supaya nama Amanah tidak dibabitkan (dalam kempen Hamzah),” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Hutan Hujan Tropika Sandakan di sini.

Pada Selasa lepas, AMANAH Sabah membuat laporan polis terhadap calon Bebas dalam PRK Parlimen Sandakan, Hamzah Abdullah yang berkempen menggunakan logo parti AMANAH.

Laporan itu dibuat oleh ketua Pemuda AMANAH Sabah Khairuddin Daud selepas melihat beberapa individu berkempen mengedarkan risalah calon Bebas itu memakai baju yang mempunyai logo parti AMANAH di Pasar Kim Fung Batu 4 di sini.

Hamzah meletak jawatan sebagai pengerusi AMANAH Sabah sehari sebelum penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu lepas.

Menurut Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, turut menegaskan parti itu menyokong calon DAP, Vivian Wong Shir Yee pada PRK Sandakan dan tidak menganggap DAP sebagai musuh kepada umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Amanah sebagai sebuah parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) hanya memberikan sokongan kepada calon DAP pada PRK Sandakan.

“Itu hanya mainan politik yang berlaku di Semenanjung. Kita berharap di Sabah tidak akan menjadi satu isu,” tambahnya.

PRK Sandakan pada 11 Mei ini bakal menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Wong, Hamzah, calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan dua lagi calon Bebas – ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP pada 28 Mac lepas.