“Mesti Ada Tabungan PTPTN, Maka Jumlah Pinjaman Akan Sedikit” – Wan Saiful

“Mesti Ada Tabungan PTPTN, Maka Jumlah Pinjaman Akan Sedikit” – Wan Saiful

0
SHARE
Wan Saiful Wan Jan...

KANGAR, PERLIS – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak boleh hanya dilihat sebagai entiti pemberi pinjaman pendidikan semata-mata, sebaliknya perlu disedari ia satu badan yang berfungsi sebagai tabung bagi pendidikan anak pada masa hadapan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini bagi memastikan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi pada masa hadapan tidak terikat dengan budaya meminjam tanpa ada sedikit pun tabungan yang boleh membantu mengurangkan pinjaman bagi membiayai pengajian.

“Mesti ada tabungan PTPTN…pinjaman akan ada┬átapi dengan ada tabungan dibuat di peringkat awal maka jumlah pinjaman akan jadi sikit, jadi tak perlu pinjam banyak sangat..itu lebih baik daripada kena pinjam jumlah yang penuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Memperkasakan Keluarga anjuran Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Perlis di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini giat mengadakan kempen menabung di seluruh negara dengan pelancaran Kempen Minggu Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) semalam di ibu negara.

Beliau berkata sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 3.6 juta akaun SSPN telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM3.8 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, 30,106 akaun dibuka oleh rakyat Perlis dengan jumlah simpanan RM14.13 juta.

Mengulas cadangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) agar hutang PTPTN dimansuhkan dalam Bajet 2019 beliau berkata pihaknya mahu mendapatkan butiran lanjut terlebih dahulu mengenai perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

– BERNAMA