Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara Bersidang Hari Ini

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara Bersidang Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara akan bersidang hari ini hingga 23 Sept depan dengan hari pertama tertumpu kepada pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara ke-18.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu dan sekiranya terdapat lebih satu nama dikemukakan, pemilihan akan diadakan.

Upacara yang berlangsung di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen itu akan disusuli dengan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu mengangkat sumpah jawatan.

Turut dijadualkan berlangsung hari ini adalah majlis angkat sumpah empat Ahli Dewan Negara baharu iaitu Mohamad Apandi Mohamad, lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong), serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah).

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa, persidangan kali ini juga akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Persidangan juga akan membahaskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ini.

Ia termasuk tiga (3) rang undang-undang berkaitan pandemik COVID-19, iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.