Misteri Wanita Berpeluh Darah

Misteri Wanita Berpeluh Darah

0
SHARE

MILAN –┬áDoktor di sebuah hospital di Itali bingung dengan keadaan ganjil seorang wanita yang mengeluarkan peluh darah daripada muka dan tapak tangannya.

Jurnal Persatuan Perubatan Kanada (CMAJ) melaporkan, doktor tidak tahu punca keadaan luar biasa yang dialami wanita yang tidak didedahkan identitinya itu.

Keadaan yang menimpa wanita itu boleh berlaku ketika dia tidur dan membuat aktiviti fizikal.

Pendarahan pada muka dan tapak tangan wanita itu semakin teruk apabila dia tertekan.

Doktor melaporkan, keadaan yang menimpa wanita itu bermula sejak tiga tahun lalu dan ia boleh berlanjutan selama satu hingga lima minit.

Keadaan itu menyebabkan wanita itu mengalami tekanan dan mengasingkan diri daripada orang ramai.

Doktor percaya wanita itu menghidap satu keadaan dikenali sebagai hematohidrosis, satu penyakit ganjil yang dikesan satu daripada 10 juta orang.

Keadaan itu menyebabkan saluran darah berhampiran liang peluh pecah akibat tekanan emosi yang melampau dan mengalir seperti peluh.

Sebelum ini terdapat beberapa kes dilaporkan mengenai individu yang berpeluh darah di dunia.