Moderna Laksanakan Ujian Peringkat Akhir Vaksin COVID-19

Moderna Laksanakan Ujian Peringkat Akhir Vaksin COVID-19

0
SHARE

WASHINGTON – Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna, semalam, berkata ia akan melaksanakan ujian peringkat akhir vaksin COVID-19 pada 27 Julai ini.

Ujian Fasa Ketiga itu akan merekrut 30,000 peserta di AS dengan separuh daripada mereka diberi dos vaksin 100 mikrogram (mg) manakala bakinya diberi ‘placebo’.

Memetik laporan AFP, ia bertujuan bagi membuktikan sama ada vaksin berkenaan selamat dan boleh mencegah jangkitan COVID-19 atau boleh mencegah simptom sekiranya seseorang itu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Jika pesakit sudah menunjukkan simptom, vaksin itu masih boleh dianggap berjaya sekiranya mampu menghentikan kes COVID-19 bertambah buruk.

Menurut laman sesawang Moderna, clinicaltrials.gov, kajian berkenaan akan berterusan sehingga 27 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat selepas New England Journal of Medicine menerbitkan hasil ujian peringkat pertama vaksin dibangunkan Moderna Selasa lalu, yang menunjukkan kesemua 45 peserta ujian menghasilkan antibodi melawan virus itu.

Moderna kini berada pada peringkat pertengahan dan dianggap antara yang mendahului perlumbaan global menghasilkan vaksin COVID-19 yang setakat ini sudah menjangkiti lebih 13.4 juta orang termasuk lebih 580,000 kematian.

Syarikat farmaseutikal China, SinoVac, kini berada pada Fasa Dua ujian vaksin COVID-19 manakala agensi berita Russia, TASS, Ahad lalu melaporkan penyelidik negara itu juga sudah selesai menjalankan ujian klinikal vaksin.

Namun, saintis memberi amaran bahawa vaksin yang pertama memasuki pasaran mungkin bukan yang paling berkesan atau selamat.