MyCARE Gesa PBB Luluskan Resolusi Kecam ‘Deal of The Century’ Tajaan AS

MyCARE Gesa PBB Luluskan Resolusi Kecam ‘Deal of The Century’ Tajaan AS

0
SHARE
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor...

KUALA LUMPUR – Badan bukan Kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mengadakan mesyuarat tergempar untuk meluluskan resolusi mengecam ‘Deal of the Century’ tajaan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap hak rakyat Palestin.

Pengerusi MyCARE, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor berkata bahawa mesyuarat itu perlu diadakan secepat mungkin kerana pelan itu bersifat berat sebelah apabila hanya menguntungkan rakan sekutunya iaitu Israel.

“Kita keliru pelan AS ini, mereka menerusi pelan itu kononnya melaungkan slogan ‘Pendamaian Untuk Kemakmuran’ namun ia langsung tidak membawa maksud kemakmuran.

“Secara ringkas, pelan itu melupuskan hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.

Sumber Foto; BH Online…

“Antara implikasi besar pelan ini ialah rakyat Palestin akan dipaksa hidup di bawah pemerintahan kejam Israel tanpa sebarang harga diri dan kebebasan,” katanya semalam.

Hafidzi turut berkata, AS juga langsung tidak memperincikan sebarang usaha penyelesaian berhubung isu pelarian warga Palestin yang kini menumpang dan berteduh di beberapa negara serata dunia.

“Apa yang pasti, nasib pelarian berkenaan akan terus terabai atas tuduhan mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas…

“AS pasti akan menggunakan pelan itu untuk menghentikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dengan alasan untuk menangani isu keganasan,” katanya.