Najib Dedah Penubuhan BERSATU Adalah Hasil Cadangan Lim Kit Siang

Najib Dedah Penubuhan BERSATU Adalah Hasil Cadangan Lim Kit Siang

0
SHARE
Datuk Seri Najib Tun Razak

PENDANG, KEDAH – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bahawa penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah hasil cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu mendedahkan perkara tersebut semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pendang kelmarin di mana Najib turut mendakwa cadangan Kit Siang itu dilontarkan dalam satu mesyuarat bersama Dr Mahathir dan pemimpin lain sebelum tertubuhnya Bersatu.

Najib turut mendakwa bahawa cadangan Kit Siang untuk menubuhkan Bersatu bertujuan untuk memecahbelahkan orang Melayu dan ia dilihat berjaya apabila 10 peratus undi Melayu kepada UMNO ketika PRU lalu berkurangan.

“Saya hendak dedahkan asal usul parti bunga ini (BERSATU) ditubuhkan. Saya belum pernah cerita lagi, malam ini, saya hendak cerita siapa agaknya yang mencadangkan penubuhan BERSATU ini.

“Saya sudah jumpa orang yang hadir pada mesyuarat berkenaan, orang itu hari ini sudah bersama kita. Banyak kali dia datang jumpa saya dan memaklumkan yang mencadangkan BERSATU ditubuhkan adalah Lim Kit Siang.

Sumber Foto; UtaraNews

“Ayat Lim Kit Siang “Tun apa kata anda tubuhkan satu parti Melayu baharu”. Maknanya dalam kepala DAP, Kit Siang hendak jatuhkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), pecah belahkan orang Melayu, peralatkan orang Melayu sendiri dan gunakan orang Melayu sebagai alat untuk menjatuhkan orang Melayu sendiri.

“Saya boleh sahkan, ini bukanlah andaian, ini telah berlaku dan akibatnya bila 10 peratus undi UMNO berkurangan (tidak mengundi BN), sudah cukup untuk kita tumbang dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Najib juga mempersoalkan siapa sebenarnya yang memecah belahkan orang Melayu dan termakan dengan hasutan DAP…

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob.