Najib Harap Kerajaan PH Meneliti Semula Model Ekonomi Baharu

Najib Harap Kerajaan PH Meneliti Semula Model Ekonomi Baharu

0
SHARE
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap penelitian semula Model Ekonomi Baharu (MEB) oleh kerajaan Pakatan Harapan bukan sekadar “pindaan kosong” memandangkan dasar itu telah berjaya memperkukuh ekonomi negara.

Katanya perkara itu boleh dilihat menerusi pelbagai pengiktirafan seperti oleh Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling kompetitif di dunia selain jangkaan Bank Dunia bahawa Malaysia kini berada di ambang ekonomi maju yang boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.

“Saya harap kerajaan baharu ini tidak buat pindaan semata-mata nak buat pindaan tetapi ia semestinya perlu membawa penambahbaikan daripada apa yang telah kita (kerajaan dahulu) lakukan.

“Kalau timbul banyak ketidaktentuan maka ini boleh menjejaskan keyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan parlimen, di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, berkata kerajaan akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru dan MEB bagi melihat kerelevanan dasar terbabit.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang dasar yang baik tidak wajar dirombak hanya kerana ia dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu katanya penelitian semula sesuatu dasar ekonomi juga haruslah mengambil kira perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

– BERNAMA