Op Selamat Aidilfitri; 350 Saman Dikeluarkan Dalam Tempoh 3 Jam

Op Selamat Aidilfitri; 350 Saman Dikeluarkan Dalam Tempoh 3 Jam

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Sebanyak 350 saman dikeluarkan dalam tempoh tiga jam oleh Polis Selangor dalam Op Selamat 13 sempena Aidilfitri dilancarkan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pemeriksaan dibuat melalui Op Selamat yang dilancarkan serentak di seluruh negara itu dimulakan pada jam 9 pagi sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Beliau berkata, saman itu dikeluarkan kepada pesalah trafik dengan sebilangan besar membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat serta telefon bimbit ketika memandu.

“Pada Op Selamat 13 kali ini, kami akan memberi tumpuan penuh terhadap enam kesalahan utama membabitkan had laju, menggunakan laluan kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan trafik, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kita juga akan menggunakan konsep penguatkuasaan penuh terhadap kesemua peruntukan undang-undang dan peraturan jalan raya yang sedia ada serta ia dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Op Selamat (penguatkuasaan sepenuhnya) Sempena Perayaan Aidilfitri 2018 di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 26, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor Asisten Komisioner Razimi Ahmad.Selain Op Selamat 13, Azman berkata, Polis Selangor turut melancarkan Op Lancar sempena Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan-laluan utama untuk keluar dari Lembah Klang sama ada ke Utara, Selatan dan juga Pantai Timur.

Sementara itu, Razimi menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau bercuti sepanjang sambutan Aidilfitri untuk sentiasa memastikan rumah dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan.

“Sebelum tinggalkan rumah, pasti semuanya dikunci dengan rapi. Jika ada penggera atau kamera litar tertutup (CCTV), pastikan ia berfungsi dan juga diaktifkan.“Pastikan jika ada kereta atau motosikal yang ditinggalkan di rumah, ia disimpan di tempat yang selamat, dalam kawasan berpagar dan juga sentiasa pastikan ia berkunci.

“Kami juga minta agar mereka yang mahu pulang ke kampung untuk mengisi borang balik kampung dan hantarkan ke balai polis berhampiran untuk tujuan pemantauan ketika mereka tiada di rumah.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang membuat langganan surat khabar, susu, roti dan lain-lain untuk menghentikan sementara penghantaran sepanjang tempoh mereka tiada di rumah.

– HARIAN METRO