Otai Reformis Tolak Kepimpinan Dr Mahathir

Otai Reformis Tolak Kepimpinan Dr Mahathir

0
SHARE

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail hari ini meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan.

Memetik laporan Malaysia Kini, Abdul Razak dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil keputusan menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang dan akan bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sehubungan itu, beliau juga membuat tiga tuntutan iaitu “menolak kepimpinan Mahathir di peringkat parti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan atau di peringkat kerajaan sebagai perdana menteri atau menteri kanan atau penasihat sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

“Menuntut Pakatan Harapan untuk memasukkan dalam manifesto PRU14 Pakatan Harapan penubuhan Suruhanjaya Keamanan dan Keadilan bagi mengadili segala tuduhan ke atas Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Otai Reformis juga mengambil keputusan supaya mana-mana ahlinya yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti Pakatan Harapan untuk melepaskan jawatan yang disandang.

Sehubungan itu, pengerusi gerakan itu, Saari Sungib yang juga adalah ADUN Hulu Kelang dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Selangor melepaskan jawatannya.

Gerakan reformasi ditubuhkan selepas Mahathir memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Mahathir menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri merekayasa tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atasnya.

Berikutan pemecatannya dan pemenjaraannya, puluhan ribu penyokong Anwar turun ke jalanan dan menentang Mahathir, yang sering-kali mencetuskan pertempuran ganas dengan polis.