Paduka Ayahanda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Mangkat

Paduka Ayahanda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Mangkat

0
SHARE

KUANTAN, PAHANG – Paduka Ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi, bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah. 

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail…

“Sehubungan itu, saya mohon rakyat jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan semoga roh almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para syhuhada,” katanya.

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah pada 12 Januari yang lalu selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun.

Pelantikan Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Okt 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Terdahulu, Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda.

Tambahan, Almarhum pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda juga dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975.

Baginda mempunyai lapan anakanda iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam.