Pahang Tumpas, Kedah Julang Piala FA 2017

Pahang Tumpas, Kedah Julang Piala FA 2017

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Stadium Shah Alam hari ini menjadi bukti kepada kejayaan Pasukan Kedah dengan menjulang Piala FA Malaysia musim 2017 dengan menumpaskan Pahang 3-2.

Pasukan bola sepak Kedah yang dikenali sebagai Skuad Helang Merah berjaya menguasai penuh permainan pada malam ini terutamanya pada separuh masa pertama dan juga mempamerkan permainan yang begitu komited dan kemas dengan hantaran-hantaran pendek yang tepat.

Hasil daripada pertunjukkan permainan yang baik dari Skuad Helang Merah, pasukan Pahang ataupun di kenali Skuad Tok Gajah gagal menemui rentak sebenar permainan mereka lalu menghadiahkan gol pertama Kedah melalui Ken Ilso Larsen pada minit ke-19.

Lebih malang lagi buat skuad kendalian Dollah Salleh pada malam ini apabila terpaksa kehilangan khidmat Francisco Ins Bohigues selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari pertahanan Kedah, Rizal Ghazali.

Dengan kelebihan yang ada, pasukan Kedah terus menggasak kubu pertahanan Pahang yang hanya beraksi dengan 10 orang pemain. Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff‎ dilihat menggunakan penggerak utama pasukan iaitu Baddrol, Liridon Krasniqi dan Syazwan yang sering bertukar posisi untuk mengelirukan pihak lawan.

Walaupun Kedah berjaya menambah tekanan kepada pasukan Pahang menerusi gol kedua daripada Baddrol, Skuad Tok Gajah tetap optimis untuk terus berjuang dan berjaya mendapat satu gol di minit tambahan separuh masa pertama menerusi jaringan Heo Jaewon.

Separuh masa kedua pula, taktikal mula berubah di mana pasukan Kedah lebih fokus kepada pertahanan (defensif) manakala pasukan Pahang dilihat sangat agresif untuk menyerang kubu pertahanan lawan.

Walaupun dilihat serangan yang sering dibuat oleh Pahang menerusi percubaan menarik melalui penyerang mereka, Wan Zaharulnizam Zakaria, namun tidak ada sebarang gol dicipta.

Bagaimanapun, Kedah tetap berjaya menjaringkan satu lagi gol menerusi Baddrol pada minit ke-72 walaupun kubu pertahanan mereka sering diuji oleh pasukan Pahang.

Atas dasar semangat juang yang tinggi dan tidak mahu menyerah kalah, pasukan Pahang berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-75 melalui sentuhan penyerang mereka, Mohamadou Sumareh.

Namun, kedudukan 3 (Kedah) – 2 (Pahang) kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel penamat.

Ini sekaligus menyaksikan Pasukan Kedah ataupun Skuad Helang Merah menjulang Piala FA buat kali keempat dalam sejarah penganjuran Piala FA Malaysia ini.