Pakatan Harapan Sabah Gesa Parlimen Malaysia Ambil Serius Tindakan DoJ

Pakatan Harapan Sabah Gesa Parlimen Malaysia Ambil Serius Tindakan DoJ

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parlimen Malaysia digesa mengambil serius tindakan undang-undang sivil Kementerian AS (DoJ) terhadap 1Malaysia Development Board (1MDB) baru-baru ini kerana ia menjejaskan reputasi Negara.

Oleh itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah meminta satu sesi Parlimen kecemasan dibuat untuk membincangkan tindakan selanjutnya untuk diambil ke atas perkara tersebut.

Setiausahanya Mohammad Razeef Rakimin berkata pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan tanpa rasa takut.

“Berikutan tuntutan mahkamah sivil DoJ terhadap 1MDB baru-baru ini, Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan Sabah menggesa satu tindakan segera diambil terhadap Malaysia Official 1 (MO1) dan individu lain yang terlibat dalam skandal itu.

“Ia adalah mengejutkan bahawaia didedahkan dalam tuntutan mahkamah itu bahawa RM17 bilion telah disalahguna di mana tuntutan ini telah mencemarkan nama baik Negara kerana ia dikaitkan pegawai tinggi Negara dan juga individu berpengaruh yang lain,” katanya dalam satu kenyataan bersama ketiga-tiga pakatan PH-PKR, DAP dan Parti Amanah Negara, di Borac Alamesra (Borneo Activist Centre), di sini, pada Sabtu.

Razeef berkata, dalam tuntutan mahkamah baharu itu, sebahagian daripada RM2.6 bilion yang mana dikatakan telah dipulang oleh MO1 kepad seorang penderma digunakan untuk membeli rantai loket berlian bernilai RM117 juta untuk ‘isteri MO1’.

“Jho Low dituduh membeli rantai dan gelang emas bernilai RM5.6 juta untuk ‘isteri MO1’.

“Low dan rakannya Eric Tan juga dituduh membelanjakan RM855 juta pada barang kemas dan sebahagian daripadanya diberikan kepada model Australia Miranda Kerr dan ibu Low.

“Low juga dituduh membeli hartanah bernilai RM4.3 bilion, sebuah kapal layar mewah, satu lukisan yang dihadiahkan kepada pelakon Leonardo DiCaprio dan banyak lagi.”

Menurut beliau, perkembangan terkini juga menyaksikan pendedahan watak baharu, seperti 1MDB Officer 4, 1MDB-SRC Officer, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini dirujuk sebagai 1MDB Officer 3, rakan warganegara Malaysia dan ‘isteri MO1’.

“Kami mengharapkan satu jawapan segera daripada Perdana Menteri…jawapan yang diberikan oleh Peguam Negara Tan sri Mohamed Apandi Ali adalah mengecewakan kerana dia berkata tidak ada jenayah dilakukan oleh pengurusan 1MDB seperti yang didakwa oleh DoJ.

“Jika ini benar, maka Putrajaya dan Wisma Putra seharusnya menghubungi Kedutaan Amerika Syarikat untuk memberikan penjelasan demi membersihkan nama Perdana Menteri dan negara.

“Ia adalah mustahil bagi tuntutan DoJ adalah palsu kerana beberapa negara juga telah memulakan siasatan berdadsarkan pendedahan yang dibuat oleh DoJ sebelum ini di mana beberapa individu telah didakwa dan didapati bersalah,” katanya.

Pada Jumaat lepas, dilaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara berasa kecewa kerana tidak dimaklumkan DoJ mengenai tindakan undang-undang sivil mereka baru-baru ini.

Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa tidak ada bukti penyelewengan dana 1MDB dan juga tidak berlaku sebarang tuduhan jenayah ke atas mana-mana individu berhubung perkara itu.

Apandi berkata pada masa ini terdapat siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis berhubung 1MDB dan sehingga kini, Jabatan Peguam Negara masih belum menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan maklumat atau bukti berhubung kes itu.

– HarianEkspres