Paluan Berirama 300 Gendang Tradisional Bakal Gegarkan Hari Malaysia 2019

Paluan Berirama 300 Gendang Tradisional Bakal Gegarkan Hari Malaysia 2019

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Paluan berirama 300 gendang tradisional bakal menggegarkan Stadium Perpaduan pada sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, Isnin malam.

Persembahan perkusi bakal menyaksikan gendang daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak seperti Rebana Ubi, Chinese table, Dumbak Iban, Bedok Melayu dipalu secara serentak.

Pertama kali diadakan di Sarawak sejak kerajan Pakatan Harapan menerajui kerajaan Persekutuan pada Mei 2018, sambutan itu akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dijadual menyampaikan ucapan pada malam itu.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’, sambutan Hari Malaysia itu akan bermula pada 7 malam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata persembahan video pembentukan Malaysia akan ditayangkan pada malam itu yang akan menyentuh sejarah negara seperti pendudukan Jepun, era komunis sehingga Malaysia moden.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga persembahan wayang kulit yang sangat istimewa dan menarik yang berkisarkan tentang persahabatan, keamanan, konflik dan pembinaan negara selain persembahan 100 pesilat dan Konvoi Kembara Merdeka.

Sambutan itu yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat akan turut mempersembahkan perarakan enam kereta berhias di hadapan kawasan Kuching Waterfront.

“Ia akan bermula dari MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan) melalui Kuching Waterfront dan berakhir di iCom Square.

“Semua program pada acara yang berlangsung di stadium tertutup dan di luar stadium boleh disaksikan secara langsung di pelbagai media sosial,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri Persekutuan dan negeri, menteri besar, diplomat asing serta tetamu kenamaan lain dijangka hadir pada sambutan itu.

– BERNAMA