PANAS!! Jumat Idris Masuk Parti Warisan?

PANAS!! Jumat Idris Masuk Parti Warisan?

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

KOTA KINABALU, SABAH – Desas desus yang hangat diperkatakan sebelum ini, kononnya Datuk Jumat Idris bakal menyertai Parti Warisan Sabah, semakin hangat diperkatakan dikalangan pengundi kawasan P171 Sepanggar apabila tujuh orang Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO itu telah melepaskan jawatan mereka yang berkuatkuasa dengan serta merta kelmarin.

Ahli Jawatan Kuasa UMNO tersebut yang diketuai oleh Azhar Matussin juga terdiri daripada Sahar Mantamin, Jamrin Wahid, Zaidi Atoh, Ladis Idris, Marino Ahmad dan Din Merin.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan terbabit, keputusan tersebut diambil kononnya di atas beberapa faktor diantaranya ialah mereka telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Sepanggar di bawah Pemangku Ketua Bahagian Datuk Yakub Khan kerana tindakan Yakub cuba menonjolkan anak asal Tuaran Sabah iaitu Dato’ Seri Rahman Dahlan sebagai bakal calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen P171 itu bagi menggantikan Datuk Jumat Idris. Tindakan Yakub seolah-olah menggambarkan tidak ada lagi calon lain lagi yang berkelayakan di kalangan kepimpinan UMNO Sepanggar hingga terpaksa membawa masuk calon yang sememangnya sudah tidak ‘popular’ di kawasan yang diwakilinya sebelum ini.

Mereka turut mendakwa tindakan Yakub Khan selaku pemangku Ketua Bahagian mengarahkan semua cawangan, Pergerakan Wanita Bahagian dan Pergerakan Puteri Bahagian untuk tidak menghadiri semua program anjuran Pejabat Parlimen Sepanggar sebelum ini sekaligus menunjukkan satu tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangkan semangat setiakawan dikalangan ahli UMNO Sepanggar sehingga mengakibatkan berlakunya perpecahan di kalangan ahli. Ini juga seterusnya melemahkan semangat mereka (ahli UMNO Sepanggar) dan terdapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pejabat bahagian sama ada dalam ucapan rasmi, perbualan biasa dan aplikasi teks WhatsApp/SMS begitu mencabar kesabaran ahli-ahli UMNO yang tidak sehaluan dengan mereka untuk segera meninggalkan UMNO kerana yakin lebih ramai yang akan menyertai UMNO bagi mengganti tempat mereka.

Jumat Idris sebelum ini telah membayangkan akan menyertai parti lain sebagaimana dilaporkan oleh The Borneo Post sebelum ini bahawa kemungkinan untuk Jumat membuat keputusan mengenai isu menyertai parti lain selepas parlimen dibubarkan.

Jumat berkata, “Apabila Parlimen dibubarkan, saya boleh memilih mana-mana pihak yang saya mahukan. Saya telah menerima tawaran dari banyak pihak. Walau bagaimanapun, setakat ini, saya masih belum membuat keputusan. Buat masa ini, saya sekadar melihat apa yang akan berlaku.

Setelah Parlimen bubar nanti, anda (media) boleh datang dan bercakap dengan saya,” katanya.

“Nama saya sudah tidak ada lagi dalam sistem keahlian UMNO. Oleh itu, saya tidak melihat diri saya sebagai ahli Umno lagi. Saya tidak lagi bertanggungjawab untuk membantu parti itu kerana ia bukan lagi tugas saya,” tambah beliau.

Jumaat digantung keahliannya dari UMNO pada tahun 2015 kerana didakwa menjejaskan imej parti disebabkan mengkritik hebat kerajaan negeri.

“Saya telah cuba merayu tetapi Majlis Tertinggi UMNO belum membuat keputusan. Jadi, saya tidak fikir keanggotaan saya akan dikembalikan semula sebelum pilihan raya,” keluh beliau.

Jumat diketahui sebelum ini mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Datuk Seri Shafie Apdal semasa Shafie masih lagi menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) dan adalah tidak musathil bagi Jumat untuk menyertai Parti Warisan jika hubungan keakraban mereka diambil kira.