Papagomo Umum Bertanding Exco Pergerakan Pemuda UMNO

Papagomo Umum Bertanding Exco Pergerakan Pemuda UMNO

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Penulis blog politik tempatan, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengumumkan akan bertanding dalam barisan kepimpinan UMNO pada pemilihan jawatan parti yang akan datang.

Lapor portal mStar Online, Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo membuat pengumuman tersebut menerusi laman sosial Instagram peribadinya, malam semalam.

“Saya dengan ini menawarkan diri bagi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan UMNO bagi penggal 2018-2021…

“Dengan penuh rendah diri, saya memohon sokongan semua ahli UMNO untuk memberikan saya peluang berkhidmat dan bangkit bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO,” katanya dalam entri tersebut.

Penulis blog berusia 36 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan untuk bertanding bagi jawatan tersebut bagi mengembalikan kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat terhadap UMNO.

Dalam masa sama, Muhammad Azri berkata dia mahu berganding bahu membantu tugas berat yang terpaksa dipikul Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memenangi semula hati rakyat.

“Soal siapa Ketua Pemuda kelak adalah terserah kepada perwakilan. Tetapi untuk kita memenangi hati rakyat kelak adalah tugas berat yang KJ (panggilan Khairy) terpaksa pikul.

“Dan aku mahu membantu KJ dalam memastikan rakyat kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” tambahnya.

Sebelum ini, Papagomo berbakti dalam parti keramat Melayu berkenaan sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju dari 2013 hingga 2018 selain menjadi Presiden NGO Malaysia Bumiputra Brotherhood sejak 2014 hingga kini.

Dalam pada itu, Khairy pula mengumumkan akan bertanding sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan termasuk pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bermula 19 Mei hingga 10 Jun, manakala peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.

Persidangan perlu dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di peringkat cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

– MYNEWSHUB.CC