Parti India Muslim Bersatu Malaysia Muncul Sebagai Pendatang Politik Baharu

Parti India Muslim Bersatu Malaysia Muncul Sebagai Pendatang Politik Baharu

0
SHARE

Memetik kenyataan BH Online, menurut Ketua Penerangannya, Ariff Farhan, pelancaran rasmi parti khusus memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim itu akan diadakan pada Jumaat ini di ibu negara.

Beliau berkata, penubuhan PIBM bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat India Muslim bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka dengan sebenar-benarnya.

“Sekarang ini komuniti India Muslim tiada parti untuk membawa suara mereka secara bebas, sebab itu kita perlu satu parti yang boleh bersuara tanpa memihak kepada mana-mana parti,” katanya dihubungi sebentar tadi.

Pada 17 Ogos lalu, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali turut melancarkan parti baru, iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra yang terbuka kepada orang Melayu-Islam dan Bumiputera.

Sementara itu, Ariff berkata, parti itu disertai ahli dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGO India Muslim, namun enggan memperincikannya.

Katanya, pendaftaran PIBM dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dibuat dua minggu lalu dengan Datuk Jamarulkhan Syed Kader sebagai presiden penajanya.

“Kita menyasarkan seramai 10,000 ahli dalam masa enam bulan selepas pelancaran di peringkat nasional dan diikuti di tujuh negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya sambil menambah perincian termasuk logo parti akan diumumkan pada majlis pelancaran kelak.