Parti Warisan Bahagian Tawau, Kalabakan Nafi Keluarkan Memorandum Bantah Sambutan Hari Krismas

Parti Warisan Bahagian Tawau, Kalabakan Nafi Keluarkan Memorandum Bantah Sambutan Hari Krismas

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Parti Warisan Sabah (WARISAN) Bahagian Tawau dan Kalabakan hari ini membuat laporan polis bagi menafikan kononnya kedua-dua bahagian parti itu terlibat dalam mengeluarkan memorandum bantahan penganjuran sambutan Hari Krismas dan Fiesta Ambang Tahun Baharu 2019 anjuran Parlimen Tawau.

Memorandum bantahan itu disiarkan di sebuah akhbar tempatan hari ini oleh kumpulan yang mendakwa  mewakili masyarakat Muslim di sini.

Ketua WARISAN Bahagian Tawau Frank Salazar @ Franco dan Ketua WARISAN Bahagian Kalabakan Ismail Senang dalam kenyataan bersama di sini berkata bahagian mereka tiada kena-mengena dengan  pengeluaran memorandum tersebut.

“Kami selaku Ketua WARISAN Bahagian Tawau dan Kalabakan, tidak terlibat langsung dengan memorandum bantahan tersebut dan kesal dikaitkan dengan pengeluaran memorandum itu,” kata Frank dan Ismail yang membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Sambutan Hari Krismas itu dianjurkan pada Jumaat lepas dan Ambang Tahun Baharu 2019, semalam.

Dalam memorandum itu, beberapa pertubuhan lain turut disenaraikan dalam membuat kenyataan  bersama itu termasuk UMNO Tawau dan Kalabakan serta Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau.

– BERNAMA